Friday, 30 August 2013

urban sketch : rumah kampung saya

Medium : pen & watercolour on paper

Sekiranya dihitungkan tarikh, hari ini merupakan hari ke 24 kita berada di bulan Syawal. Dikesempatan ini, rasanya belum terlambat untuk saya mengucapkan 'Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir & Batin' kepada semua pembaca yang mengikuti blog ini. Terima kasih di atas sokongan anda. Dan kemaafan juga dipinta kerana lewat membalas pesanan yang ditag di dalam ruangan ini. Kelemahan saya akan perbaiki di masa-masa mendatang. InsyaAllah. Nampaknya, agak lama saya tidak mengemaskini blog. Almaklumlah sejak akhir-akhir ini saya banyak menghabiskan masa terhadap tugasan serta tuntutan kehidupan sekeliling. Banyak perkara-perkara penting untuk diurus dan tidak boleh dilengahkan. Namun di sudut sanubari ini sentiasa terdapat perasaan membuak-buak untuk membelek-belek blog. Tiada perkara yang menarik  untuk mengisi masa lapang selain dengan memlakukan aktiviti menafaat dan sihat. Oleh yang demikian hari ini saya berjaya meluangkan masa untuk setidak-tidaknya menghasilkan lagi satu karya yang boleh saya kongsikan bersama.

Ok, lukisan di atas ialah lukisan cepat (quick sketch) iaitu sebuah rumah kediaman milik keluarga saya di kampung. Secara kebetulan scene ini saya rakamkan semasa menyambut Aidilfitri yang lalu. Inilah peluang saya ambil untuk menterjemahkan apa yang saya lihat ke dalam lukisan. Sudut gambaran ini diambil semasa berehat-rehat di pangkin perkarangan rumah di mana ia boleh dilihat secara keseluruhan rekabentuknya. Rumah kampung saya ini bukanlah sebuah rumah tradisional melayu tetapi merupakan sebuah rumah kampung yang dibina untuk penduduk berstatus peneroka rancangan Felcra. Tiada menarik rekabentuknya, tetapi nostalgia yang dimiliki oleh rumah bertuah ini adalah sememangnya tiada tandingan. Di sinilah saya dibesarkan. Dibina sekitar awal 80an seusia dengan umur saya. Masih kukuh dan utuh. Rekabentuk ini telah mengalami beberapa proses pengubahsuaian diselaras dengan penambahan bilangan ahli keluarga serta fungsi bangunan dan masih mengekalkan rekabentuk rumah asal (rumah ibu berwarna merah). Rekabentuk seperti ini agak biasa dijumpai di kediaman Tanah Rancangan seperti Felcra ataupun Felda. Mungkin yang membezakan adalah keluasannya. Seperkara yang menarik boleh dikongsikan di sini ialah rumah asal ini dibina pada ketika dahulu dengan hanya anggaran kos RM4000.00 sahaja lengkap dengan 2 bilik tidur. Sekarang? Adalah tidak mungkin! Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-56 tahun.  =)

Lukisan dilakar menggunakan pen ke atas flip sketchbook.

No comments:

Post a Comment