Tuesday 22 October 2013

merekabentuk banglo 2 tingkat untuk En. Shaari



Medium : Autocad, 3dsmax & Adobe Photoshop

Dalam tempoh dua minggu tanpa sebarang posting, saya sempat menyiapkan sebuah rekabentuk banglo 2 tingkat untuk seorang pelanggan iaitu En. Shaari yang saya kenali melalui seorang rakan. Rekabentuk tersebut telah melepasi beberapa peringkat dan fasa pengubahsuaian yang mana ia mengambil kira keperluan serta kehendak pelanggan. Konsep yang diterapkan di sini ialah lebih menjurus kepada kediaman jenis tropikal yang berkeluasan 462.9 meterpersegi (4982.5 kakipersegi) dari segi keluasan binaannya.

Secara teknikal, kediaman ini dilengkapi dengan beberapa ruang dan bilik utama iaitu 7 bilik tidur, 6 bilik air, ruang tamu, 2 ruang famili, 1 ruang makan, dapur basah, dapur kering, foyer dan ruangan yard. Dengan keluasan sebegini, biasanya kediaman jenis ini bolehlah dikategorikan sebagai rumah agak mewah di mana bilangan ruangan asasnya melebihi daripada bilangan tipikal rumah kediaman yang biasa terdapat di pasaran ketika ini. Apa yang menarik untuk kediaman ini ialah ia memiliki binaan balkoni yang agak besar dijadikan sebagai ruangan istirehat keluarga tanpa untuk turun ke laman. Terdapat juga ruangan untuk lanskap di bahagian ruang keluarga sebelah tangga di mana ia boleh terus diakses dari luar selain daripada keunikan di bahagian ruang tamu utama yang memiliki atrium.

Dengan persetujuan yang telah diberi oleh pelanggan terlebih dahulu, maka ketika ini saya sedang menyiapkan lukisan submission untuk kelulusan Pihak Berkuasa Tempatan sebagai sebuah syarat untuk membina sebuah kediaman di sesebuah tempat. Lukisan ini juga berperanan sebagai rujukan olek pihak kontraktor untuk digunapakai semasa pembinaan rumah impian tersebut kelak. Agak sedikit dukacita, saya tidak dapat mengkongsikan rupa bentuk pelan susunatur rumah ini kepada pembaca kerana ialah hak cipta terpelihara untuk pemilik ini sahaja. Apa yang boleh dikongsikan cuma gambaran luaran rekabentuk kediaman ini yang saya hasilkan menggunakan aplikasi komputer iaitu 3dsmax software. Sekian.


2 comments: