Monday 7 October 2013

urban sketch : jambatan tan kim seng

Medium : pen & watercolour on paper

Buku sketch kepunyaan saya hampir terjatuh ke dalam sungai ketika saya sedang sibuk melukis di pelantar sungai pada hujung minggu lalu. Ini adalah insiden yang sukar untuk saya lupakan sepanjang menjalankan aktiviti 'beriadah sambil melakar' yang saya telah lakukan sejak kebelakangan ini. Situasi ini berlaku dengan pantas di mana buku ini tiba-tiba tergelincir semasa sibuk menyandarannya untuk mencari ruang dan posisi melukis di susur tangan konkrit (concrete hand railing) terletak di pelantar tersebut. Namun dengan tindakan pantas tangan saya dapat menggapai buku itu semula seterusnya menyelamatkan harta berharga kepunyaan saya dari tenggelam ke dasar Sungai Melaka. Syukur. Kalau tidak sudah pastinya saya akan kehilangan sebilangan koleksi lukisan yang telah saya hasilkan sejak beberapa tahun lalu. Sukar untuk digambarkan.

Oklah. Lukisan di atas terhasil semasa saya melakukan aktiviti berbasikal pada hari ahad yang lalu. Hati ini amat berbelah bagi pada peringkat permulaan kayuhan kerana cuaca agak kurang baik. Awal jam 4 pagi sudah kedengaran hujan mulai turun. Namun, ia tidak mengambil masa yang terlalu lama untuk berhenti. Akibat dari hujan tersebut, terhasillah lopak-lopak air di kaki lima jalan yang secara teorinya akan menyukarkan kayuan untuk kali ini. Ditambah pula, kedengaran pula guruh kecil sekali-sekala memecah ketenangan pagi memberi petanda kemungkinan hujan akan turun lagi. Namun, nampaknya keobsesan dalam diri mengatasi segala-galanya. Naluri ini bertekad untuk meneruskan apa yang telah dirancang. Tiada perkataan untuk berpatah balik. Sambil itu, hati kecil berdoa agar dipermudahkan untuk perjalanan kali ini.

Alhamdulilah. Nampaknya apa yang diinginkan tercapai. Hujan pun tidak turun seperti dijangka. Kali ini route perjalanan juga ditukar. Saya telah mengambil keputusan untuk berkayuh di seberang sungai sana berbeza dari route minggu-minggu lalu. Pertukaran perjalanan dibuat saat-saat akhir juga bermakna perjalanan ini memberi panorama yang lebih berbeza. Dengan memilih untuk berada di pelantar sungai berdekatan Hotel Casa Del Rio, saya mula melukis memfokuskan imej yang saya lihat. Kelihatan sebuah jambatan lama di beri nama rasmi Jambatan Tan Kim Seng menghubungkan Bandar Hilir menuju ke jalan di Jonker Walk. Bertentangan dengan sungai kelihatan bangunan Harper's Restaurant & Lounge berwarna merah dan juga bangunan Melaka Information Centre yang mana kita akan sentiasa lihat sekiranya berada di Bandar Hilir. Impak kedudukan ketiga-tiga objek ini memberikan sebuah refleksi menarik ke atas permukaan sungai. Imej pembalikan yang terhasil memberikan kesan visual amat menarik pada waktu pagi. Itulah sebab utama kenapa saya memilih subjek ini selain pertembungan serta susunan antara bangunan, jalan dan sungai membawa maksud tersendiri di dalam bahasa senibina.

 Gambaran ketika sedang melukis dan insiden ketika hampir kehilangan sketchbook kepunyaan saya. Kedudukan posisi melukis perlu stabil untuk menghasilkan garisan lebih konsisten.


 Inilah basikal saya dan kit melukis diletakkan di atas susur tangan konkrit. Kelihatan permukaan sungai yang begitu hampir dengan tempat saya melukis.

Lukisan yang siap diwarnakan di rumah.

2 comments:

  1. Awesome! Teruskan usaha. Mungkin bila dah siap nanti, boleh dibukukan.:)

    ReplyDelete