Thursday 9 August 2018

Merekabentuk banglo 2 tingkat untuk En. Hasni

Autocad + 3ds Max + Adobe Photoshop

Sebuah lagi rekabentuk banglo yang berjaya dihasilkan.

Kali ini diketengahkan sebuah rekabentuk banglo 2 tingkat yang saya ilhamkan kepada En. Hasni daripada Batu Berendam Melaka. Dengan keluasan tapak dianggarkan bersaiz 816.4 meterpersegi iaitu kira-kira 8787.7 kakipersegi yang berkedudukan agak tirus memanjang membuatkan sedikit mencabar dalam membina susunatur layout bangunan.

Dengan mengambilkira keperluan yang ditetapkan oleh pihak klien, akhirnya susunatur pelan banglo ini dapat diolah sebaik mungkin tanpa mengurangkan aspek kesesuaian ruang yang cuba direka secara optimum. Ringkasannya, banglo ini bersaiz 512.0 meterpersegi (5,575.0 kakipersegi) keluasan binaan dengan bukaan 46' x 70' yang mana anjung kereta dibina secara berasingan. Mempunyai 6 bilik tidur termasuk 1 bilik tidur utama, 2 ruang tamu (formal + famili), ruang makan, dapur basah & dapur kering, stor, ruang famili dan ruang study. Hampir keseluruhan bilik tidur dilengkapi dengan bilik air yang mana pemilik cuba mengelakkan daripada elemen perkongsian yang biasa digunapakai bagi kediaman-kediaman lain.

Rekaan banglo kediaman ini cenderung kepada konsep 'kontemporari' yang menyelitkan sedikit elemen resort style. Batuan kemasan brick veneer dijadikan sebagai elemen estatika kepada tiang bangunan selain unsur aluminium louvers serta elemen coping sebagai pelengkap. Terdapat 4 binaan ruang balkoni sebagai elemen santai kegunaan pemilik menikmati panorama disekeliling tapak. Akhirnya, tona warna bumi (earth colour) menghiasi fasad bangunan dengan ditunjangi warna kelabu gelap keperangan sebagai pilihan untuk warna atap bumbung dari jenis tanah liat. 

Di sini juga, saya ingin berkongsikan sedikit gambaran ditapak semasa pembinaan yang sempat saya rakamkan. Mungkin diwaktu dan ketika entri ini ditaip, pembinaan banglo ini telahpun sampai ke fasa akhir untuk kerja-kerja mengecat. Agak belum berkesempatan untuk saya pergi & melawat secara rasmi ke sana. Walauapapun jua, saya mengucapkan tahniah kepada En. Hasni kerana berjaya melaksanakan impian beliau sekeluarga yang mana tidak jemu berulangkali membuat pertemuan bersama saya semasa proses rekabentuk dahulu. Semoga beliau berpuashati dengan hasilnya dan saya mengucapkan jutaan terima kasih atas kesudian mendapatkan perkhidmatan kecil-kecilan yang tidak seberapa daripada saya. 

Sekian.

 Pandangan sisi banglo.

Pandangan hadapan secara close-up.

Sedikit perkongsian gambaran pembinaan di tapak.


1 comment:

  1. cantiklah.. semoga usaha admin semakin berkembang di seluruh malaysia

    ReplyDelete