Monday, 2 September 2013

urban sketch : casa del rio hotel

Medium : pen & watercolour on paper

Nampaknya cita-cita untuk kembali aktif terhadap aktiviti berbasikal tertunai akhirnya. Setelah hampir 5 bulan tidak membuat sebarang kayuhan, namun semalam niat murni ini telah terlaksana. Dengan azam yang kuat juga keinginan ingin mengekalkan cara hidup sihat tanpa melengahkan masa saya mempersiapkan diri pada awal pagi lagi untuk bergegas membuat kayuhan pertama.

Kayuhan bermula seawal 6.45 pagi. Dengan pagi yang begitu dingin sedikit sebanyak membantu menaikkan semangat untuk berkayuh. Udara sungguh segar diselangi panorama sekitar yang begitu tenang. Kali ini saya berkayuh berseorangan tanpa teman. Memandangkan aktiviti telah lama tidak dipraktikkan maka tahap kemampuan badan juga meragukan kerana telah lama berada di dalam mod beristirehat. Oleh yang demikian, saya mengambil keputusan membuat kayuh ringan dengan jarak yang agak sederhana. Laluan pilihan ialah laluan dari rumah menuju ke Bandar Hilir Melaka.

Aktiviti berbasikal ini amatlah menyeronokkan kerana saya boleh lakukan bila-bila masa sahaja. Sesuailah dengan keadaan usia yang telah meningkat sedikit sebanyak telah meninggalkan sukan-sukan lain selain sukan ping pong & badminton yang masih saya kekalkan. Namun aktiviti sukan ini hanya saya lakukan sekiranya berkelapangan. Oklah, berbalik kepada cerita tadi, bagi menambahkan lagi keseronokan aktiviti berbasikal ini, tanpa ketinggalan saya juga membuat sedikit task sampingan seperti entri saya paparkan terdahulu iaitu 'beriadah sambil melakar'. Masih ingat lagi bukan? Bagi pembaca baru perlulah mengambil sedikit waktu bagi melayari posting saya sesebelum ini yang menceritakan sukan berbasikal saya. Berbekalkan sketchpad bersaiz poket dan sebatang pen saya akan buat sedikit live sketches ke atas apa yang saya lihat untuk diterjemahkan menjadi sebuah lukisan. Mudah dan ringkas. Kit melukis yang dibawa juga kecil untuk dimuatkan ke dalam porch bag disangkut pada basikal. Begitulah tujuannya. Dan akhirnya, lakaran yang dilampir di atas ialah permandangan secara tampak bangunan Hotel Casa Del Rio yang bertentangan dengan tempat saya berehat di dek bangunan perlabuhan lama terdapat di Bandar Hilir. 

Lakaran cepat ini saya lakukan dengan pantas berdurasi sekitar 15 minit. Memandangkan ramai kaki jogging telah mula mendekati port saya melukis untuk melihat apa yang sedang saya lakukan menyebabkan saya mula hilang tumpuan. Sedikit gugup seterusnya fokus mulai pudar. Agaknya mental saya tidak cukup kuat apabila dikelilingi orang-orang yang ada sifat ingin tahu di situ. Saya percaya, saya akan cuba atasinya nanti. Inilah cabarannya. Maka dengan itu saya segera beredar dan sudah pastinya saya akan lakukannya sekali lagi kelak untuk aktiviti kayuhan minggu hadapan. Jumpa lagi. =)

Lakaran yang diwarnakan kemudian ketika tiba di rumah.


Permandangan di dek menghadap ke fasad bangunan hotel.

Friday, 30 August 2013

urban sketch : rumah kampung saya

Medium : pen & watercolour on paper

Sekiranya dihitungkan tarikh, hari ini merupakan hari ke 24 kita berada di bulan Syawal. Dikesempatan ini, rasanya belum terlambat untuk saya mengucapkan 'Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir & Batin' kepada semua pembaca yang mengikuti blog ini. Terima kasih di atas sokongan anda. Dan kemaafan juga dipinta kerana lewat membalas pesanan yang ditag di dalam ruangan ini. Kelemahan saya akan perbaiki di masa-masa mendatang. InsyaAllah. Nampaknya, agak lama saya tidak mengemaskini blog. Almaklumlah sejak akhir-akhir ini saya banyak menghabiskan masa terhadap tugasan serta tuntutan kehidupan sekeliling. Banyak perkara-perkara penting untuk diurus dan tidak boleh dilengahkan. Namun di sudut sanubari ini sentiasa terdapat perasaan membuak-buak untuk membelek-belek blog. Tiada perkara yang menarik  untuk mengisi masa lapang selain dengan memlakukan aktiviti menafaat dan sihat. Oleh yang demikian hari ini saya berjaya meluangkan masa untuk setidak-tidaknya menghasilkan lagi satu karya yang boleh saya kongsikan bersama.

Ok, lukisan di atas ialah lukisan cepat (quick sketch) iaitu sebuah rumah kediaman milik keluarga saya di kampung. Secara kebetulan scene ini saya rakamkan semasa menyambut Aidilfitri yang lalu. Inilah peluang saya ambil untuk menterjemahkan apa yang saya lihat ke dalam lukisan. Sudut gambaran ini diambil semasa berehat-rehat di pangkin perkarangan rumah di mana ia boleh dilihat secara keseluruhan rekabentuknya. Rumah kampung saya ini bukanlah sebuah rumah tradisional melayu tetapi merupakan sebuah rumah kampung yang dibina untuk penduduk berstatus peneroka rancangan Felcra. Tiada menarik rekabentuknya, tetapi nostalgia yang dimiliki oleh rumah bertuah ini adalah sememangnya tiada tandingan. Di sinilah saya dibesarkan. Dibina sekitar awal 80an seusia dengan umur saya. Masih kukuh dan utuh. Rekabentuk ini telah mengalami beberapa proses pengubahsuaian diselaras dengan penambahan bilangan ahli keluarga serta fungsi bangunan dan masih mengekalkan rekabentuk rumah asal (rumah ibu berwarna merah). Rekabentuk seperti ini agak biasa dijumpai di kediaman Tanah Rancangan seperti Felcra ataupun Felda. Mungkin yang membezakan adalah keluasannya. Seperkara yang menarik boleh dikongsikan di sini ialah rumah asal ini dibina pada ketika dahulu dengan hanya anggaran kos RM4000.00 sahaja lengkap dengan 2 bilik tidur. Sekarang? Adalah tidak mungkin! Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-56 tahun.  =)

Lukisan dilakar menggunakan pen ke atas flip sketchbook.

Friday, 2 August 2013

urban sketch : persimpangan jalan tun tan cheng lock

Medium : pencil on paper

Misi kali ini berjaya lagi. Baru sebentar tadi saya sempat menghasilkan sebuah lakaran di atas flip sketchbook yang dilakarkan ketika berada di dalam kereta. Scene atau panorama yang terakam semasa melalui Jalan Tun Tan Cheng Lock. Itupun adalah atas dasar dan situasi kebetulan. Tujuan sebenar ialah saya ingin menunaikan solat jumaat di Masjid Tengkera yang terletak di pinggir bandar Melaka. Di mana laluan diambil tersebut menuju terus ke destinasi yang diinginkan. Namun disebabkan kesibukan serta kesesakan lalulintas pada separuh perjalanan, menyebabkan saya membatalkan niat dan berpatah semula menuju ke Masjid An'nur. Di dalam perjalan tersebut saya sempat memerhati lokasi yang sesuai untuk memakir kereta. Memandangkan saya masih mempunyai masa lebih kurang 1 jam, saya bertekad untuk menghasilkan 1 lakaran sementara menunggu waktu solat. Dengan kit melukis yang memang sentiasa berada di dalam kereta, tanpa berlengah masa saya pun mula melukis. Peralatan yang digunakan ialah pencil 3B serta flip sketchbook. Akhirnya, siap sebuah lagi lakaran untuk dijadikan koleksi yang berdurasi sekitar 20 minit. 

Situasi dan keadaan saya ketika melukis.