Friday, 30 August 2013

urban sketch : rumah kampung saya

Medium : pen & watercolour on paper

Sekiranya dihitungkan tarikh, hari ini merupakan hari ke 24 kita berada di bulan Syawal. Dikesempatan ini, rasanya belum terlambat untuk saya mengucapkan 'Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir & Batin' kepada semua pembaca yang mengikuti blog ini. Terima kasih di atas sokongan anda. Dan kemaafan juga dipinta kerana lewat membalas pesanan yang ditag di dalam ruangan ini. Kelemahan saya akan perbaiki di masa-masa mendatang. InsyaAllah. Nampaknya, agak lama saya tidak mengemaskini blog. Almaklumlah sejak akhir-akhir ini saya banyak menghabiskan masa terhadap tugasan serta tuntutan kehidupan sekeliling. Banyak perkara-perkara penting untuk diurus dan tidak boleh dilengahkan. Namun di sudut sanubari ini sentiasa terdapat perasaan membuak-buak untuk membelek-belek blog. Tiada perkara yang menarik  untuk mengisi masa lapang selain dengan memlakukan aktiviti menafaat dan sihat. Oleh yang demikian hari ini saya berjaya meluangkan masa untuk setidak-tidaknya menghasilkan lagi satu karya yang boleh saya kongsikan bersama.

Ok, lukisan di atas ialah lukisan cepat (quick sketch) iaitu sebuah rumah kediaman milik keluarga saya di kampung. Secara kebetulan scene ini saya rakamkan semasa menyambut Aidilfitri yang lalu. Inilah peluang saya ambil untuk menterjemahkan apa yang saya lihat ke dalam lukisan. Sudut gambaran ini diambil semasa berehat-rehat di pangkin perkarangan rumah di mana ia boleh dilihat secara keseluruhan rekabentuknya. Rumah kampung saya ini bukanlah sebuah rumah tradisional melayu tetapi merupakan sebuah rumah kampung yang dibina untuk penduduk berstatus peneroka rancangan Felcra. Tiada menarik rekabentuknya, tetapi nostalgia yang dimiliki oleh rumah bertuah ini adalah sememangnya tiada tandingan. Di sinilah saya dibesarkan. Dibina sekitar awal 80an seusia dengan umur saya. Masih kukuh dan utuh. Rekabentuk ini telah mengalami beberapa proses pengubahsuaian diselaras dengan penambahan bilangan ahli keluarga serta fungsi bangunan dan masih mengekalkan rekabentuk rumah asal (rumah ibu berwarna merah). Rekabentuk seperti ini agak biasa dijumpai di kediaman Tanah Rancangan seperti Felcra ataupun Felda. Mungkin yang membezakan adalah keluasannya. Seperkara yang menarik boleh dikongsikan di sini ialah rumah asal ini dibina pada ketika dahulu dengan hanya anggaran kos RM4000.00 sahaja lengkap dengan 2 bilik tidur. Sekarang? Adalah tidak mungkin! Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-56 tahun.  =)

Lukisan dilakar menggunakan pen ke atas flip sketchbook.

Friday, 2 August 2013

urban sketch : persimpangan jalan tun tan cheng lock

Medium : pencil on paper

Misi kali ini berjaya lagi. Baru sebentar tadi saya sempat menghasilkan sebuah lakaran di atas flip sketchbook yang dilakarkan ketika berada di dalam kereta. Scene atau panorama yang terakam semasa melalui Jalan Tun Tan Cheng Lock. Itupun adalah atas dasar dan situasi kebetulan. Tujuan sebenar ialah saya ingin menunaikan solat jumaat di Masjid Tengkera yang terletak di pinggir bandar Melaka. Di mana laluan diambil tersebut menuju terus ke destinasi yang diinginkan. Namun disebabkan kesibukan serta kesesakan lalulintas pada separuh perjalanan, menyebabkan saya membatalkan niat dan berpatah semula menuju ke Masjid An'nur. Di dalam perjalan tersebut saya sempat memerhati lokasi yang sesuai untuk memakir kereta. Memandangkan saya masih mempunyai masa lebih kurang 1 jam, saya bertekad untuk menghasilkan 1 lakaran sementara menunggu waktu solat. Dengan kit melukis yang memang sentiasa berada di dalam kereta, tanpa berlengah masa saya pun mula melukis. Peralatan yang digunakan ialah pencil 3B serta flip sketchbook. Akhirnya, siap sebuah lagi lakaran untuk dijadikan koleksi yang berdurasi sekitar 20 minit. 

Situasi dan keadaan saya ketika melukis.

Monday, 22 July 2013

merekabentuk banglo 2 tingkat untuk En. Tahir


Assalammualaikum. Bersua kembali. Entri kali ini saya paparkan sebuah rekabentuk rumah kediaman jenis banglo 2 tingkat di mana rekabentuk ini dipohon untuk dizahirkan oleh seorang pembaca blog ini. Beliau yang dimaksudkan ialah En. Tahir dari Batu Cave, Selangor.

Memiliki sebuah rumah idaman merupakan impian bagi setiap orang khususnya kepada yang telah individu berkeluarga. Apatah lagi sekiranya rekabentuk rumah impian tersebut adalah diilhamkan mengikut citarasa serta konsep yang dimahukan. Dengan adanya faktor ini, menjadikan ia lebih praktikal terhadap kehendak dan kesesuaian sendiri. Begitu juga situasi ini berlaku kepada En. Tahir. Secara ringkas, beliau menyatakan hasrat beliau melalui kiriman email yang berkehendakkan rekabentuk sebuah banglo 2 tingkat ke atas tanah yang agak terhad keluasannya iaitu bersaiz 55' x 40'. Rumah 1 tingkat sediada perlu melalui proses meroboh terlebih dahulu bagi memberi laluan ke atas kediaman yang baru. Antara konsep yang diperlukan ialah sebuah kediaman berbentuk moden, mempunyai 5 bilik tidur, ringkas dan selesa. Begitulah hasrat beliau.

Dengan sedikit lakaran kasar yang diberi sedikit sebanyak membantu saya dalam merekabentuk seterusnya merialisasikan impian beliau. Namun begitu, masih ada sedikit ubahsuai yang perlu saya lakukan kerana mengambilkira aspek kegunaan ruang juga aspek teknikal dalam merekabentuk sesebuah bangunan. Apatah lagi keluasan binaan maksimum yang boleh dihasilkan cuma bersaiz 34' x 30'. Di sinilah terdapat trick dan kaedah yang sesuai boleh diterapkan.

Maka, terhasillah sebuah rekabentuk rumah kediaman seperti di atas. Konsep yang saya ketengahkan ialah rekabentuk berbentuk segi empat tepat. Tiada dinding yang temasuk atau keluar dari fasad banguan kerana ia boleh mengecilkan saiz ruang. Dengan memaksimakan keluasan ruang seterusnya menonjolkan beberapa elemen untuk menampakkan segmen bangunan - kaburkan pandangan daripada melihat bangunan kotak empat persegi dengan elemen 'features wall' + balcony + concrete hood  dan jack roof di ruang utama. Dengan memainkan tona warna lembut serta kontras menaikkan lagi fasad banglo ini. Akhirnya terbentuklah sebuah konsep kediaman yang kompak, luas, modern, hijau (landskap) dan menarik.

Apapun saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada En. Tahir kerana sudi mendapatkan khidmat serta pandangan daripada saya. Saya akan cuba sedaya upaya untuk membantu berdasarkan kemampuan. Malangnya saya tidak dapat untuk mengkongsikan rekabentuk pelan susunatur yang telah siap untuk bangunan ini sebagai rujukan kerana ia telah dipatenkan hanya kepada pemilik ini. Yang ada cuma sebahagian pandangan luaran yang boleh dikongsikan bersama.