Ini merupakan siri terbaru daripada saya. Siri ini saya namakan sebagai Isometric yang memaparkan susunatur ruangan (room layout) sesebuah tempat yang saya tinggal atau singgah dan diterjemahkan semula kepada sebuah lukisan. Idea ini sebenarnya tercetus secara spontan pada minggu yang lalu, semasa bercuti di Gold Coast Morib Resort, Banting Selangor iaitu sehari selepas hari konvokesyen isteri di Kuala Lumpur. Secara peribadi, saya begitu kagum dan selesa dengan bilik studio suite yang kami tempah. Susuatur bilik yang standard untuk sebuah hotel, kemasan binaan, konsep hiasan dalaman serta fasiliti yang disediakan amat menarik perhatian saya. Saiz bilik tersebut sangat luas dilengkapi beberapa elemen tambahan seperti balkoni serta jakuzzi. Sungguh menarik untuk sebuah percutian keluarga.
Sambil termenung sejenak, saya mula berfikir untuk mengilhamkan sesuatu terhadap percutian ini sebagai kenangan selain daripada mengambil gambar photo yang sentiasa saya rakam. Akhirnya saya mendapat idea untuk melakarkan sebuah lukisan isometric yang saya pernah pelajari suatu masa lalu ketika menuntut di dalam jurusan senibina pada penghujung tahun 90an hingga awal tahun 2000. Idea ini nampaknya begitu menarik selepas lebih 10 tahun tidak dieksperimentasi!.
Secara ringkas, lukisan isometric merupakan sebuah lukisan teknikal sudut 30 darjah yang dilukis menggunakan nisbah skala tertentu. Lukisan ini boleh dilakarkan menggunakan dua kaedah iaitu menggunakan perisian komputer ataupun secara tradisional (manual). Teknik yang saya pilih ialah kaedah tradisional yang melibatkan penggunaan peralatan melukis seperti 'T square', Protactor, fan scale juga peralatan lain seperti pemadam, teknikal pen & pensel. Saya memang amat menggemari kaedah ini sejak dahulu lagi kerana ia menggunakan 100% ketelitian, kepakaran tangan serta skill untuk melukis berbanding menggunakan perisian komputer. Di situlah terletaknya value dan cabarannya. Lukisan yang saya akan hasilkan menggunakan nisbah skala 1 : 50 untuk sebuah bilik kerana ia lebih besar dan jelas untuk dilihat.
Dilukis di atas board, ditampal menggunakan musking tape ke atas kertas lukisan bersaiz 278mm x 360mm dengan ketebalan 135gsm.
Walaubagaimanapun, perkara pertama yang perlu dibuat ialah ukuran bilik perlu diambil dan direkodkan sebelum menghasilkan lukisan isometric ini. Tugas ini lebih mudah sekiranya ukuran telah diambil tanpa sesi berkira-kira semasa melukis. Saya hanya menggunakan kaedah anggaran untuk mengambil saiz bilik iaitu dengan mengganggarkan saiz jubin lantai sebagai nisbah. Adalah sememangnya pita ukuran tidak perlu dibawa semasa bercuti.
Pelan Lantai
Lukisan perspektif.
Lakaran kasar saiz bilik dilakar menggunakan medium peranti telefon pintar. Selain itu juga, saya sempat melakarkan lukisan perspektif menggunakan medium yang sama ketika berada di atas katil sambil menonton tv. Banyak sungguh pengisian masa saya ketika bercuti. =)
Akhirnya, lukisan isometric saya siap dihasilkan dalam masa sekitar durasi 2 jam tanpa henti (merujuk lukisan di atas). Lukisan ini saya lukiskan semula setelah seminggu pulang dari sana. Walauapapun kenangan bercuti ini masih segar dalam ingatan membuatkan saya begitu teruja untuk dikongsi bersama walaupun sedikit. Saya sarankan anda berkunjung ke sana sekiranya berpeluang kerana tarikan utama yang membuatkan anda betul-betul teruja ialah teman tema ini selain momen indah meluangkan masa bersama keluarga !!
No comments:
Post a Comment