Wednesday, 18 September 2013

koleksi : budak comel


Sebentar tadi, saya menyelak album-album foto lama terdapat pada rak tv. Album foto yang saya ambil ialah koleksi gambar-gambar lama ketika sekolah dahulu yang secara kebetulan saya terpegang ketika menyusun kepingan DVD terdapat di situ. Agak lucu melihat muka sendiri masa kecil. Comot macam tidak terurus. Kelakar rasanya. Baju besar berseluar pendek dengan rambut degil terpacak ala-ala buah durian. Itulah saya sebenarnya waktu itu. Budak kecil yang suka buat mainan robot sendiri daripada kotak ubat gigi, kotak rokok ayah, kotak mancis digam dan dicantum-cantum kononnya menjadi robot 'Voltron'. Kisah robot Jepun yang amat popular lewat 80-an dulu sekiranya anda masih ingat lagi. Tidak jemu-jemu bermain sehingga robot terkoyak dan berkecai apabila terkena sedikit air. Itulah antara kenangan saya semasa kecil dahulu. Mungkin kanak-kanak masa kini lebih beruntung. Kehidupan mereka sangat berbeza berbanding dengan zaman kita. Saya percaya, fasa membesar mereka juga cukup berbeza sehingga ada memberi sedikit cabaran kepada para ibu bapa masa kini. Harapan agar saya dapat lalui dengan jayanya. InsyaAllah.

Oklah, cukup sahaja sampai di situ. Apa yang saya ingin sentuh di sini ialah sebenarnya merupakan cerita sebuah lukisan. Dengan tidak disangka saya telah terjumpa sekeping lukisan potret terselit di dalam album foto yang saya selak sebentar tadi. Bertuah saya menjumpai semula antara koleksi lukisan-lukisan yang saya pernah hasilkan sedikit masa dahulu. Mengikut perkiraan masa, lukisan ini kini telah berusia lebih kurang 15 tahun. Seingat saya waktu itulah memang saya agak aktif melukis untuk mengisi masa lapang iaitu selepas menduduki SPM. Banyak lukisan yang saya hasilkan tetapi lokasinya entah di mana. Mungkin masih ada disimpan di dalam almari di kampung ataupun ianya telah dibuang oleh ibu saya semasa mengemas rumah. Tidaklah saya ketahui. Harapan agar suatu hari nanti saya akan berjumpa kembali koleksi-koleksi tersebut untuk dijadikan kenangan peribadi saya. Ianyalah amat bernilai bagi saya yang sememangnya amat mencintai seni lukisan. 

Fasa mengingat kembali : 

Lukisan tersebut di atas saya hasilkan dengan mengambil gambar foto yang terdapat di dalam surat khabar sebagai model. Motif dan sebab kenapa saya memilih gambar tersebut adalah saya tidak pasti. Saya rasa mungkin ketika itu saya ingin menonjolkan teknik monochrome yang jelas di dalam seni lukisan potret selain ingin bereksperimentasi kepada lukisan lebih realistik. Ataupun mungkin juga saya ingin menonjolkan teknik shadow dan pencil stroke yang kuat seterusnya menimbulkan tekstur jeans yang dipakai oleh budak tersebut. Segalanya berkemungkinan. Apapun jua, saya rasa tetap puas dengan apa yang telah saya buat selama ini. Sekurang-kurangnya masa lapang saya ketika dahulu telah diisi dengan aktiviti sihat yang saya sukai. Tanpa disedari, rasa teruja dan berkobar-kobar timbul di dalam diri secara tiba-tiba dipengakhiran tulisan ini. Bersemangat rasanya untuk melukis dan menconteng. Tapi mungkin bukan hari ini dan malam ini kerana masa itu amat mencemburui saya. Yang pastinya esok dan seterusnya akan ada. Itu telah semestinya pasti!

* budak itu kelihatan sangat comel di dalam potret tetapi saya hanya kurang sedikit sahaja daripada itu. =)

No comments:

Post a Comment