Sunday, 22 September 2013

urban sketch : jeti dan bot di muara sungai

Medium : pen & watercolour on paper

Semalam, pada 21/09/2013 saya berkayuh lagi. Kali ini dengan 'semangat lebih baru'. Laluan yang sama dipilih untuk perjalanan kali ini. Cuaca agak baik cuma terdapat sedikit tompokkan awan pekat di sebelah timur sedikit merisaukan. Namun, saya lebih bersedia sekiranya sebarang kebarangkalian berlaku. Beg plastik telah saya bekalkan di dalam beg galas untuk menyimpan segala peralatan elektronik, kit melukis dan barangan yang tidak kalis air sebagai langkah berjaga-jaga. Dania masih tidur ditemani ibunya. Biarkanlah mereka berehat. Hari ini adalah hari cuti. Cuti ini sememangnya amat bermakna terutamanya kepada individu yang kuat bekerja seperti isteri saya. Ditambah pula dengan bekerja waktu syif. Bekerja waktu syif amat memenatkan. Itu memang tidak boleh dinafi. Jadual syif dan waktu cuti juga sentiasa berubah-ubah. Waktu cuti kami tidak sama seperti orang lain. Oleh yang demikian, segala perancangan untuk kemana-mana perlu diaturkan dengan terperinci untuk mengelakkan pertembungan jadual bekerja. Ia telah menjadi rutin sejak 5 tahun yang lalu. 

Oklah. Dengan segalanya telah tersedia, tepat pukul 7 pagi saya mula mengorak langkah. Kayuhan ini lebih bermakna kerana hari ini juga saya sedang cuba menggunakan basikal baru yang dibeli pada hari sebelum. Begitu semangat untuk mencuba. Kali ini saya beli basikal dari jenis 'folding bike' berjenama Trinx. Memanglah amat menyeronokkan dengan percubaan pertama ini. Terdapat banyak perbezaan antara basikal terdahulu. Saya rasa saya akan kongsikan pada entri yang lain mengenai basikal ini. Banyakkan yang saya akan ceritakan nanti secara terperinci. Tetapi apa saya boleh nyatakan di sini secara ringkas, sebab utama saya membeli sebuah lagi basikal adalah secara umumnya ia mempunyai fungsi sama tetapi dari segi teknikalnya ia adalah berbeza. Basikal saya kali ini lebih ringan, saiz sedikit kompak dan yang paling menarik ialah ia boleh dilipat-lipat seperti baju. =)

Ok. Cukuplah ceritanya sampai di situ sahaja. Nanti akan kupasannya untuk sebuah entri khasnya nanti. 

Emm.. Perjalanan saya tadi berlaku dengan agak lancar. Dengan timbangan basikal yang agak ringan, saya berjaya membuat kayuhan dengan purata 30 km/j pada laluan lurus yang panjang. Segala-galanya berjalan begitu lancar sehinggalah tiba di zon pendakian. Sungguh memenatkan untuk habiskan kayuhan mendaki jambatan terletak di jalan Syed Abdul Aziz yang menuju ke Melaka Raya. Kebiasaannya saya akan berhenti seketika di pertengahan jambatan itu untuk menghilangkan lelah sambil meneguk air. Dan kali ini memang saya terpaksa berhenti di sana. Bukan sahaja untuk menghilangkan penat tetapi mata saya juga tertarik dengan panorama yang terdapat di muara sungai itu dilihat dari atas jambatan. Agak unik kerana kali ini jeti di muara sungai itu dipenuhi dengan bot-bot pelbagai jenis dan warna disimbah dengan pancaran cahaya matahari waktu pagi. Ia juga diparkir dengan begitu rapi seperti sebuah perbarisan. Oleh yang demikian, secara teknikalnya saya telah berjaya menemui port untuk melakar untuk hari ini. Dan dengan itu bermulalah tugasan saya sehingga selesai menggunakan ink terakhir pen saya seterusnya menyambung semula perjalanan tadi. Tiba di rumah pada sekitar jam 9 pagi.

Gambaran dan suasana ketika melakar di atas jambatan pada ketika itu

Gambaran yang agak jauh untuk membandingkan skala visual yang terlihat

Inilah jambatan di mana tempat atau port saya melukis. Saya berada di ketinggian lebih daripada 10m. 

Dan inilah semangat baru saya katakan di awal entri tadi. Kelihatan gagah disaluti dengan warna merah.

Lukisan yang diwarnakan menggunakan watercolour apabila tiba sahaja di rumah

No comments:

Post a Comment