Medium : pen & watercolour on paper
Seperti yang dijanjikan sebelum ini, semalam saya telah berjaya membuat tugasan itu sekali lagi. Sebagai makluman, aktiviti ini telah tertunda sejak minggu sebelumnya kerana hujan. Kebelakangan ini keadaan cuaca adalah tidak menentu. Hampir setiap hari hujan dan diselangi dengan cuaca panas terik sekali-sekala. Keadaan sebegini agak menyukarkan jadual sebarang aktiviti luar yang telah dirancang. Ditambah pula, saya mengalami batuk dan sakit tekak menyebabkan menghilangkan suara saya seketika. Sedikit sebanyak ia juga mengurangkan mood untuk bersukan. Walaubagaimanapun keadaan ini berubah pada hari semalam. Cuaca adalah baik, batuk telah pun hilang ditambah pula cuti yang panjang sempena 'Hari Malaysia' disambut di seluruh negara menyebabkan saya mengambil peluang ini untuk berkayuh.
Seperti biasa, saya akan bergerak seawal mungkin untuk mengelakkan cuaca panas terik menjelang pukul 9 pagi. Kayuhan santai ini lebih kepada untuk membina stamina yang merudum kerana tidak menjalankan sebarang aktiviti fizikal sebelum ini. Purata kelajuan yang dibuat sekitar 25 km/j yang mana cukup sesuai untuk jantung menjalankan operasinya. Jarak keseluruhan perjalanan dianggarkan 25 kilometer pergi dan balik. Jarak tersebut juga sesuai untuk sebuah kayuhan santai.
Perkara yang paling menarik semasa menjalankan aktiviti ini ialah ketika menyusuri tebing sungai Melaka. Inilah saat yang paling menggembirakan semasa berkayuh. Anda boleh berbasikal disepanjang kaki lima belakang rumah kedai di sungai Melaka bermula dari muara sungai sehingga ke jeti bot River Cruise di Taman Rempah sambil menghayati rekabentuk serta senibina yang terdapat di situ. Sungguh menarik dan cukup indah tatkala persisir sungai Melaka ini telah ditaiktaraf bagi menjadikan simbol serta ikon perlancongan Negeri Melaka. Kelihatan ramai kaki-kaki jongging juga berkeliaran di sepanjang sungai selain daripada mereka yang berbasikal seperti saya. Meriah. Itulah perkataan yang saya boleh ungkapkan. Dengan cuaca yang dingin serta persekitaran yang damai menambahkan lagi keterujaan untuk saya terus berkayuh.
Bagi saya misi kali ini juga lebih jelas di mana saya perlu mencari port atau tempat sesuai untuk saya melukis sejajar dengan tema yang saya pengang iaitu 'beriadah sambil melakar'. Akhirnya saya berhenti di pertengahan laluan sungai iaitu membelakangkan Bangunan Merah. Inilah tempat yang saya rasa lebih sesuai dan selamat daripada pandangan orang ramai yang berkeliaran di situ sedikit sebanyak mengurangkan tekanan semasa melukis. Dengan berbekalkan kit melukis, juga flip sketchbook yang saya sempat bawa di dalam beg sandang, maka saya mula melukis. Lukisan kali ini saya lakar lebih terperinci kerana saiz sketchpad saya lebih besar berbanding tempoh hari. Perincian sesebuah lukisan memberi kesan kepada pertambahan nilainya. Namun keadaan agak sedikit kurang selesa disebabkan posisi saya melukis yang kurang sesuai iaitu sambil duduk di atas basikal bertupangkan kaki ke tembok dan glove yang tidak saya tanggalkan. =)
Lakaran yang saya hasilkan menggunakan pen
Posisi saya melukis sambil duduk di atas basikal
Lukisan yang diwarnakan ketika tiba di rumah
No comments:
Post a Comment